ASSALAMUALAIKUM W.B.T........

Thursday, 19 April 2012

Sebutan Oleh Pengerusi Majlis.

SITUASI 27.
Panggilan kehormat begitu penting dalam sesuatu majlis rasmi kerana bagi menghormati kedudukan atau pangkat yang dianugerahkan kepada orang kenamaan yang hadir dalam majlis itu. panggilan hormat ini juga mengikut hirarki dalam masyarakat di samping mengikut adat serta protokol sesutau majlis.

Contoh teks yang digunakan oleh pengerusi majlis.


MAJLIS PERASMIAN PENUTUP
 KEJOHANAN BOLA JARING PERINGKAT UNIVERSITI
TAHUN 2010
ANJURAN
     PUSAT KOKURIKULUM
      DENGAN KERJASAMA
JABATAN HAL EHWAL PELAJAR & ALUMNI
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS.
                     21 SEPTEMBER 2010

      ( KETIBAAN DIF-DIF KEHORMAT DAN NYANYIAN NEGARAKU )
(Para hadirin dipersilakan berdiri untuk menghormati ketibaan Naib Canselor UPSI, dan menyanyikan lagu Negaraku dengan diiringi alunan muzik.)
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.
Yang Berbahagia, Prof. Dato’ Dr Aminah Ayob selaku Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris. Yang Berbahagia,  Prof. Dr. Saliha bt Muhammad Timbalan Naib Canselor,Hal Ehwal Pelajar & Alumni)
Yang Berusaha, Puan Suhaila bt Adam Pengarah Program Kejohanan Bola Jaring merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Kejohanan Bola Jaring ini. Yang Dihormati En. Anizan bin Md Noor selaku Penolong pendaftar, Unit Aktiviti dan Latihan, Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Tetamu-tetamu kehormat, timbalan-timbalan dekan Fakulti Sains Sukan, ketua-ketua jabatan, para sarjana dan, para peserta kejohanan bola jaring, serta hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
SITUASI 26.


KEKAYAAN MASYARAKAT MELAYU.

Maysrakat Melayu sesemangnya kaya yakni kaya dengan warisan turun-temurun. Antara warisan yang paling bernilai ialah pantun. Pantun merupakan hasil karya sastera tradisional yang tergolong dalam puisi Melayu lama di samping syair, gurindam dan bahasa berirama. Pantun lazimnya merujuk kepada sesuatu yang teratur sama ada ucapan, pimpinan, didikan atau kesopanan dalam menjalani kehidupan seharian. Aspek-aspek tersebut telah dapat dikesan dalam penciptaan pantun yang merupakan satu bentuk atau suatu cara untuk menlahirkan maksud mengikut cara hidup dan tatasusila yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat terutama masyarakat zaman tradisional. Pantun telah banyak dicipta pada zaman dahulu kerana pantun boleh dianggap sebagai wadah untuk berkomunikasi kerana ia mampu menyampaikan hasrat dan perasaan dalam bentuk yang lebih baik dan sopan. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan.



Pantun 1 Malaysia.

Pergi melancong ke Taiwan,
Untuk melawat sebuah taman,
1 Malaysia tunjang perpaduan,
Pegangan hidup zaman-berzaman.

Kilang produa terletak di Rawang,
Kawasannya pula banyak hutan,
Generasi cemerlang bangsa gemilang,
Wawasan 2020 kita jayakan.

Thursday, 5 April 2012

Janji Melayu.

SITUASI 25.

      Janji merupakan suatu perkara atau perbuatan yang harus dikotakan atau dilakukan sama ada cepat atau lambat. Jika perbuatan itu tidak dilakukan bermakna seseorang itu telah memungkiri janji yang telah dibuat. Masyarakat sekarang terlalu mudah untuk berjanji tetapi terlalu susah untuk menunaikannya. Hal ini demikian kerana janji hanya bermodalkan kata-kata yang menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami. Bagi orang Melayu, berjanji merupakan perkara yang amat sukar tetapi mereka mengambil mudah perkara yang dijanjikan itu tanpa memikirkan akibat yang bakal berlaku jika mereka tidak menunaikannya. Maka, telah timbul satu persepsi baru yang melambangkan masyarakat Melayu yang tidak menepati janji iaitu "Janji Melayu".

      Secara automatiknya janji Melayu akan dikaitkan terus dengan penggunaan bahasa Melayu yang digunakan oleh masyarakat Melayu untuk membuat janji. Kesannya, masyarakat atau bangsa lain akan memandang rendah terhadap masyarakat Melayu dan terbit perasaan segan dan jijik untuk berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Maka, bahasa Melayu telah mengalami perendahan taraf yang disebabkan oleh bangsanya sendiri.

ULASAN:

Bangsa lain selain bangsa Melayu terutamanya bangsa Cina jarang menggunakan bahasa Melayu kerana menganggap bahasa Melayu tidak membawa perubahan yang positif kepada mereka. Merekan hanya akan menggunakan bahasa Melayu jika terpaksa sahaja.

Hukum D-M

SITUASI 24.

Hukum D-M ini hanya digunakan dalam binaan Frasa Nama dan tidak melibatkan Frasa Kerja, Frasa Adjektif mahupun Frasa Sendi Nama. Menurut Nik Safiah Karim, D merujuk kepada diterangkan, iaitu unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama, manakala M merujuk kepada menerangkan iaitu, unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. Unsur yang diterangkan merupakan unsur inti (benda) dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang (menerangkan perihal benda tersebut). Ringkasnya untuk menyebut frasa nama, kita mestilah menyebut nama benda dahulu barulah diikuti dengan menerangkan sifatnya.

Unsur Diterangkan (D)
Unsur Menerangkan (M)
Ikan
besar
Kipas
putih
Pisang
goreng

Penggunaan susunan unsur frasa nama yang bertentangan dengan peraturan hukum D-M adalah tidak gramatis, antaranya seperti *Aliza Restoran, *Polis Kadet, *Ariesya Klinik, *goreng pisang kerana intinya terletak di bahagian belakang. 

PENDAPAT.

Hukum D-M ini tetap mempunyi kekecualian dalam beberapa konteks. Oleh sebab itu, timbul pelbagai kekeliruan terhadap penutur bahasa melayu yang kurang mahir mengenai hukum D-M ini. Penjelasan yang lebih efisien diperlukan bagi mengurangkan berlakunya kekeliruan tersebut.

Wednesday, 4 April 2012

Penghinaan Bahasa Melayu.

SITUASI 23.

      Penghinaan Bahasa Melayu. Isu yang hangat diperdebatkan di semua institusi bagi memartabatkan kembali bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Tidak terkecuali Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Hari ini, satu forum bahasa Melayu telah dilaksanakan yang bertajuk "Keberkesanan Pelaksanaan Pendekatan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam Konteks Pendidikan di Sekolah". Antara tokoh yang terlibat ialah Dr. Idris bin Mohd. Radzi, Prof. Dr. Teo Kok Seong, Prof. Dato' Dr. Wan Hashim Bin Wan Teh dan Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Bin Abu Bakar. 

       Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Bin Abu Bakar telah berkata bahawa telah lama berlaku penghinaan terhadap bahasa Melayu. Hal ini jelas tampak dalam sistem pendidikan apabila kerajaan telah memperkenalkan PPSMI yang memperkenalkan penggunaan bahasa Inggeris bagi menggantikan penggunaan bahasa Melayu untuk belajar subjek Matematik dan juga Sains. Sebagai orang Melayu yang sangat perihatin, beliau telah bertungkus lumus untuk memperjuangkan bahasa Melayu agar tidak terus diperalatkan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Semangat memperjuangkan bahasa Melayu terus berkobar-kobar. Begitu juga dengan  Prof. Dr. Teo Kok Seong, walaupun beliau bukan berbangsa Melayu, beliau juga merupakan pejuang bahasa Melayu.

      Masyarakat Melayu seharusnya mempunyai benteng penguasaan bahasa Melayu yang utuh dan tidak mudah melatah dengan pengaruh budaya lain yang cuba untuk mencalar maruah bahasa Melayu. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama untuk memperjuangkan dan memartabatkan kembali penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara terutamanya dalam sistem pendidikan negara.




Maaf masa kini.

SITUASI 22.

Dahulu, perkataan maaf yang dihulur amat bermakna kerana disampaikan secara ikhlas dan penuh dengan penghayatan untuk meminta maaf di atas kesilapan yang dilakukan. Sekarang, perkataan maaf hanya diucapkan hanya dimulut sahaja. Perkara itu merupakan kesan daripada peredaran masa dan juga pengaruh budaya luar yang tidak mementingkan adab. Berbeza dengan budaya dan adab masyarakat Melayu dahulu yang penuh dengan sopan santun.
Contohnya, pada minggu lepas, ketika saya sedang berjalan-jalan dengan rakan di satu kawasan, seorang budak perempuan telah terlanggar seorang perempuan tua. Dengan selamba sahaja budak itu berkata "sorry, mak cik" dan terus pergi begitu sahaja tanpa memandang perempuan itu. Maka, terbuktilah bahawa generasi zaman sekarang mempunyai benteng adab yang sangat rapuh dan sudah luntur di bawa arus pemodenan zaman.

ULASAN:
Melihat keadaan tersebut, saya berpesan pada diri sendiri dan juga kawan-kawan untuk menjaga adab sopan supaya kita terus dihormati. Dihormati kerana mampu bertahan dan mengekalkan warisan yang diperturunkan oleh nenek moyang kita dahulu.

Tuesday, 3 April 2012

Ungkapan Melayu.

SITUASI 21.

Peribahasa.
Menurut Luqman Ariffin & Abu Khai Atan (2001), peribahasa mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan reality kehidupan dengan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling. Menurut Za’ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Contoh: Berjagung-jagung dahulu sementara padi masak.
Maksud : mengamalkan sikap rajin dan tidak hanya menunggu serta mengharapkan kepada satu perkara sahaja.

Simpulan bahasa.
Menurut Abdullah Hussein (1990), simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim.
Contoh: Langkah kanan
Maksud: Bernasib baik.

Perumpamaan.
Menurut Za’ba, perumpamaan berasal daripada bahasa kiasan. Ia membawa makna tersirat dan tersurat. Menurut Awang Had Salleh dan Abdul Razak Abu (1990 : 187), perumpamaan ialah susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberi makna khas berlainan daripada apa yang diucapkan atau ditulis dalam ayat itu, atau yang membandingkan sesuatu dengan benda lain.
Contoh: Laksana golok kayu,ditetak tak makan,dijual tak laku.
Maksud: Sesuatu yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

Perbilangan.
Mengikut Za’ba, perbilangan ini seakan-akan bidalan dan pepatah. Disebut satu persatu seperti membilang dan isinya hampir-hampir menjadi undang-undang tetap kerana diterima kebenaran dan kebijaksanaannya.
Contoh: Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.
Maksud : setiap orang harus mentaati adat dan perlu diingatkan bahawa kita juga akan mati.

Seloka.
Menurut Hooykaas (1965), seloka adalah pantun yang memakai rima sama a-a-a-a seperti syair.     Menurut Simorangkir Simandjuntak (1965 ), seloka juga merupakan bidalan atau pepatah yang diberi bersampiran, tegasnya dalam bentuk pantun empat baris.
Contoh :                     Anak agam jual sutera,

                                         Jual di Renggat tengah pekan,
                                         Jangan digengam seperti bara,

                                               Terasa hangat dilepaskan.


Bidalan.
Bidalan ialah sebahagian daripada peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat, peringatan dan sebagainya kepada masyarakat di samping mempunyai ilmu, nilai dan pengajaran yang sangat berguna (Rubiah Aksah, 2005: 222).
Contoh : Berjalan peliharakan kaki, berkata peliharakan lidah.
Maksud : Seseorang perlu berfikir dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu pekerjaan     atau  tindakan.


Kata-kata Hikmat.
Kata-kata hikmat merupakan hasil pemikiran bijak pandai dan tokoh-tokoh tersohor. Biasanya kata-kata hikmat mengandungi pengertian yang mendalam, iaitu sebagai suatu peringatan di samping menjadi panduan dalam kehidupan (Rubiah Aksah, 2005 : 268).
Contoh : Muafakat membawa berkat.