ASSALAMUALAIKUM W.B.T........

Monday, 30 April 2012

PERANCANGAN BAHASA.

SITUASI 37.


Perancangan bahasa merujuk kepada usaha-usaha yang disengajakan untuk mempengaruhi tingkah laku orang-orang lain dari segi pemerolehan, struktur, atau peruntukan fungsi bahasa. Biasanya, ia akan membabitkan perkembangan matlamat, objektif, dan strategi untuk mengubah cara bagaimana bahasa digunakan. Perancangan bahasa boleh dibahagikan kepada tiga sub-dimensi iaitu perancangan korpus, perancangan status dan perancangan pemerolehan.
Istilah perancangan bahasa (language planning) itu mula digunakan oleh E. Haugen (1959) di dalam penulisannya apabila dia merancangkan bahasa Norway. Di dalam usaha tersebut. Haugen telah mendefinisikan perancangan bahasa sebagai merangkumi usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa tertentu, mencakupi segala usaha yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut untuk penyuburan bahasa dan melibatkan usaha-usaha pembinaan, pengubahsuaian dan pembakuan yang dilakukan kepada sesuatu bahasa yang berkenaan.

Rajah 1: Buku berkaitan dengan perancangan bahasa.

Rajah 2: Keratan akhbar.


Friday, 27 April 2012

PANTUN DALAM KHUTBAH JUMAAT.

SITUASI 36.

As Salam....
Sempena hari Jumaat yang penuh barakah ini, saya terfikir beberapa perkara yang ada kaitan dengan kemuliaan hari Jumaat. Antaranya ialah kenapa ramai golongan muda yang tidak suka untuk ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat? Selalunya hanya golongan tua yang lebih ramai jika dibandingkan dengan golongan muda. Mungkin orang muda sibuk dengan kerja atau leka dengan keseronokan dunia semata-mata.

      Tetapi, pada hari ini, pertama kali saya membaca status kawan saya di laman sosial yang terkenal iaitu 'Facebook' yang mengatakan bahasa "Hari ini Masjid Ulu Bernam ada keistimewaan sebab menyelitkan pantun dalam bacaan khutbah. Syabas". Pembaharuan yang dibuat oleh ahli jawatankuasa masjid itu amat membanggakan kerana mampu mencari alternatif terbaik untuk menarik minat golongan lelaki untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Melalui pantun, ia dapat memberikan nasihat yang berguna kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana bersesuaian dengan fungsi pantun tersebut iaitu memberi nasihat, kritikan dan sebagainya secara halus dan mendalam maknanya. Terdapat banyak pantun yang dicipta berdasarkan kepada ajaran agama. Contohnya:

Sungguh indah pintu dipahat;
    Burung puyuh di atas dahan;
Kalau hidup hendak selamat;
    Taat selalu perintah Tuhan.

Sayang-sayang buah kepayang;
    Buah kepayang hendak dimakan;
Manusia hanya boleh merancang;
    Kuasa Allah yang menentukan.

ULASAN: 

Walau bagaimanapun, solat Jumaat itu tetap wajib bagi golongan lelaki. Oleh itu, penggunaan pantun hanya mampu untuk menarik minat masyarakat, bergantung kepada niat mereka untuk melalukan sesuatu perkara.
Sebaik-baiknya, melakukan sesuatu perkara perlukan keikhlasan dan tiada niat yang terselindung.



Thursday, 26 April 2012

BAHASA PASAR CEMARI KEDAULATAN BAHASA KEBANGSAAN.

SITUASI 35.


Pada hari ini, semasa menghadiri kelas Media dalam pengajaran bahasa Melayu, pensyarah kami iaitu Dr. Hj. Ab. Rahman bin Ab. Rashid telah memperkatakan mengenai penggunaan bahasa pasar. Sehubungan dengan itu, saya amat tertarik dengan gaya yang ditiru oleh beliau apabila bercakap menggunakan bahasa pasar iaitu dialog percakapan orang Cina.
          Bahasa yang berupa campur aduk antara bahasa ibunda penutur dengan bahasa kedua yang cuba dituturkannya (biasanya digunakan dalam hubungan perdagangan), pijin (Kamus Dewan Edisi Keempat). Bahasa pasar ialah bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu. Pelat penyebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur. Penggunaannya tidak gramatis dengan mengabaikan hukum D-M dan penggunaan penjodoh bilangan. Contoh: Pengunaan ‘Gua’ menggantikan saya (ganti diri orang pertama) dan `lu' (ganti diri nama kedua). Menggunakan perkataan ‘banyak’ sebagai kata penguat. Contohnya ‘banyak cantik’. Bahasa ini juga kerap menggunakan perkataan `punya'. Contohnya ‘dia punya barang’, ‘apa punya budak’ dan sebagainya.

ULASAN:
Penggunaan bahasa pasar sedikit sebanyak telah mencemari kedaulatan bahasa kebangsaan. Hal ini demikian kerana bahasa pasar tidak menggunakan sebutan bahasa Melayu dengan betul. Oleh sebab itu, dikhuatiri bahasa pasar ini akan menjadi ikutan generasi yang akan datang. Ini akan menyebabkan kerugian kepada negara kerana generasi baharu yang diharapkan dapat memartabatkan bahasa Melayu sudah hilang.



Rajah 1: Buku dan keratan akhbar berkaitan dengan bahasa pasar.

Tuesday, 24 April 2012

TULISAN RAHSIA.

SITUASI 33.

Tulisan rahsia merupakan sambungan daripada bahasa rahsia (situasi 32). Melalui tulisan ini, pelbagai perkara boleh diperkatakan dan hanya orang tertentu sahaja yang dapat memahaminya. Pelbagai bentuk yang boleh direka mengikut kreativiti masing-masing. Contohnya ialah ayat ditulis secara terbalik, ditulis secara rapat-rapat antara setiap perkataan, diselitkan nombor, susunan hurufnya berterabur dan sebagainya. Tetapi, tulisan rahsia ini lebih senang untuk dianalisis maknanya kerana tulisan merupakan sesuatu yang maujud dan boleh dilihat. Jika dibandingkan dengan kata-kata yang diujar secara lisan yang tidak mampu untuk dilihat. Contoh penggunaan tulisan rahsia ini ialah;
Bahasa Melayu Standard.
Tulisan Rahsia (susunan huruf berterabur).
Saya suka membaca novel.
Syaa skua mbamcea neovl.


Video 1: Video Tulisan Rahsia.

ULASAN;
Tulisan rahsia tidak sukar seperti bahasa tulisan yang diujarkan melalui bahasa lisan. Bahasa rahsia secara lisan juga tidak ramai yang mampu menuturkannya apatah lagi memahaminya jika dibandingkan dengan tulisan rahsia.

UNIKNYA BAHASA.


SITUASI 32.

Waktu sekolah menengah dahulu, seorang kawan telah mengajar saya mengenai satu bahasa rahsia yang agak susah untuk saya fahami. Kawan saya itu tinggal di kawasan pulau yang dikenali dengan nama ‘Pulau Suri” di Kelantan. Uniknya, bahasa yang digunakan itu menggunakan suku kata yang tertentu dan diselitkan diantara perkataan-perkataan bahasa Melayu. Contoh suku kata yang selalu digunakan ialah ‘ka’, ‘fa’, dan lain-lain. Contoh ayatnya adalah seperti berikut;
Bahasa Melayu Standard.
Bahasa Rahsia.
Saya teringin nak makan belangkas masak lemak cili api.
Safayafa teferifinginfin nakfak mafakanfan befelangfangkasfas mafasakfak lefemakfak cifilifi pafadifi.

          Kawan-kawan saya selalu menggunakan bahasa itu untuk menyatakan sesuatu yang kurang elok untuk diperkatakan seperti mengumpat ataupun mengkritik tanpa pengetahuan orang lain. Hal ini demikian kerana tidak semua orang boleh faham bahasa tersebut termasuk saya. Sememangnya saya ingin belajar cara untuk bertutur menggunakan bahasa tersebut tetapi agak sukar bagi saya. Jadi, saya terus lupakan niat untuk belajar bahasa itu sampai sekarang.
          Selain itu, bahasa rahsia ini juga digunakan oleh anggota keselamatan negara seperti tentera, polis dan lain-lain. Rasional penggunaan bahasa rahsia oleh golongan ini bagi mengelakkan musuh daripada mengesan atau mendapat maklumat mengenai mereka. Mereka juga menggunakan kod rahsia yang menggunakan nombor sebagai asas utama. Contohnya, perkataan seperti ‘Alpha 1234’, ‘Bravo 6578’ dan lain-lain.

Ulasan:
Bahasa sememangnya unik kerana mempunyai keupayaan untuk berkembang mengikut peredaran zaman. Oleh itu, masyarakat yang kreatif akan mencipta sesuatu yang baru yang mampu diterima oleh orang lain. Tidak semestinya bahasa itu digunakan untuk tujuan yang kurang baik kerana ia juga mempunyai kepentingan kepada negara terutama dari aspek keselamatan negara.

KESANTUNAN BERBAHASA.


SITUASI 31.

Kesantunan (politiness), kesopansantunan, atau etiket adalah tatacara, adat, atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan bersama oleh suatu masyarakat tertentu sehingga kesantunan sekaligus menjadi prasyarat yang diterima oleh perilaku sosial. Oleh itu, Ervin Tripp telah menyediakan tiga rumus dalam sistem sapaan iaitu rumus alternasi, rumus kejadian bersama dan rumus perurutan.
1)    Rumus Alternasi
Rumus alternasi merupakan rumus yang menggunakan kaedah yang berkaitan dengan cara seseorang tersebut untuk berkomunikasi yakni menyapa seseorang. Mengikut rumus ini, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhinya iaitu situasi yang ditandai oleh status, pangkat yang merujuk kepada tatatingkat dalam suatu organisasi kerja (pegurus dan guru) dan gelaran yang diperoleh seseorang itu (doktor).
2)   Rumus Kejadian Bersama.
Perkara yang diketengahkan oleh rumus ini ialah susunan rujukan kehormat terhadap orang yang disapa yang bersesuaian dengan kedudukannya. Susunannya mestilah bermula dengan rujukan kehormatan diikuti gelaran yang disandang dan nama peribadi. Contohnya ialah Profesor Madya Dr. Talib Samat.
3)   Rumus Perurutan
Rumus perurutan pula merupakan rumus yang membincangkan mengenai rujukan kehormat. Oleh itu, ia memerlukan kata-kata sapaan terhadap rujukan kehormat tersebut dan penggunaannya mestilah sesuai dengan kedudukan atau gelaran yang disandang oleh seseorang itu. Seseorang yang mempunyai pangkat seperti pangkat sebagai Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri akan menggunakan rujukan kehormat Yang Amat Berhormat. Contoh lain yang terdekat ialah  Yang Berbahagia Profesor Madya Dato Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin.

ULASAN:
MENURUT RUMUS-RUMUS YANG TELAH DITERANGKAN ITU, MAKA DIHARAP PENGGUNA BAHASA TERUTAMA BAHASA MELAYU DAPAT MEMBEZAKAN ANTARA PANGGILAN KEHORMATAN DAN JUGA RUJUKAN KEHORMAT. PENGGUNAAN ASPEK TERSEBUT MESTILAH MENGIKUT KONTEKS YANG TELAH DIGARISKAN AGAR TIDAK MENYALAHI HUKUM PENGGUNAANNYA.

Friday, 20 April 2012

SITUASI 30.



SENARAI DARJAH KEBESARAN PERSEKUTUAN.

1. Seri Pahlawan Gagah Perkasa S.P.
2. Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia D.K.M
3. Darjah Utama Seri Mahkota Negara D.M.N.
4. Seri Maharaja Mangku Negara S.M.N
5. Seri Setia Mahkota S.S.M.
6. Darjah Bakti D.B
7. Panglima Mangku Negara P.M.N
8. Panglima Setia Mahkota P.S.M.
9. Panglima Jasa Negara P.J.N
10. Panglima Setia Diraja P.S.D.
11. Johan Mangku Negara J.M.N.
12. Johan Setia Mahkota J.S.M.
13. Johan Setia Diraja J.S.D.
14. Kesatria Mangku Negara K.M.N.
15. Kesatria Setia Diraja K.S.D.
16. Ahli Mangku Negara A.M.N.
17. Pingat Pangkuan Negara P.P.N.
18. Bentara Setia Diraja B.S.D.
19. Panglima Gagah Berani P.G.B.
20. Jasa Perkasa Persekutuan J.P.P.
21. Pingat Tentera Udara P.T.U.
22. Pingat Kebaktian P.K
23. Pingat Khidmat Berbakti P.K.B.
24. Pingat Perkhidmatan Am P.P.A.
25. Kepujian Perutusan Keberanian K.P.K.
26. Pingat Perkhidmatan Setia P.P.S.
27. Pingat Peringatan Malaysia P.P.M.
28. Pingat-Pingat Pertabalan –

ULASAN:
Setiap darjah kebesaran yang dinyatakan ini diberikan kepada tokoh-tokoh yang betul-betul layak sahaja berdasarkan kepada sumbangan yang diberikan kepada negara.