ASSALAMUALAIKUM W.B.T........

Wednesday, 4 April 2012

Maaf masa kini.

SITUASI 22.

Dahulu, perkataan maaf yang dihulur amat bermakna kerana disampaikan secara ikhlas dan penuh dengan penghayatan untuk meminta maaf di atas kesilapan yang dilakukan. Sekarang, perkataan maaf hanya diucapkan hanya dimulut sahaja. Perkara itu merupakan kesan daripada peredaran masa dan juga pengaruh budaya luar yang tidak mementingkan adab. Berbeza dengan budaya dan adab masyarakat Melayu dahulu yang penuh dengan sopan santun.
Contohnya, pada minggu lepas, ketika saya sedang berjalan-jalan dengan rakan di satu kawasan, seorang budak perempuan telah terlanggar seorang perempuan tua. Dengan selamba sahaja budak itu berkata "sorry, mak cik" dan terus pergi begitu sahaja tanpa memandang perempuan itu. Maka, terbuktilah bahawa generasi zaman sekarang mempunyai benteng adab yang sangat rapuh dan sudah luntur di bawa arus pemodenan zaman.

ULASAN:
Melihat keadaan tersebut, saya berpesan pada diri sendiri dan juga kawan-kawan untuk menjaga adab sopan supaya kita terus dihormati. Dihormati kerana mampu bertahan dan mengekalkan warisan yang diperturunkan oleh nenek moyang kita dahulu.

Tuesday, 3 April 2012

Ungkapan Melayu.

SITUASI 21.

Peribahasa.
Menurut Luqman Ariffin & Abu Khai Atan (2001), peribahasa mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan reality kehidupan dengan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling. Menurut Za’ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Contoh: Berjagung-jagung dahulu sementara padi masak.
Maksud : mengamalkan sikap rajin dan tidak hanya menunggu serta mengharapkan kepada satu perkara sahaja.

Simpulan bahasa.
Menurut Abdullah Hussein (1990), simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim.
Contoh: Langkah kanan
Maksud: Bernasib baik.

Perumpamaan.
Menurut Za’ba, perumpamaan berasal daripada bahasa kiasan. Ia membawa makna tersirat dan tersurat. Menurut Awang Had Salleh dan Abdul Razak Abu (1990 : 187), perumpamaan ialah susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberi makna khas berlainan daripada apa yang diucapkan atau ditulis dalam ayat itu, atau yang membandingkan sesuatu dengan benda lain.
Contoh: Laksana golok kayu,ditetak tak makan,dijual tak laku.
Maksud: Sesuatu yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

Perbilangan.
Mengikut Za’ba, perbilangan ini seakan-akan bidalan dan pepatah. Disebut satu persatu seperti membilang dan isinya hampir-hampir menjadi undang-undang tetap kerana diterima kebenaran dan kebijaksanaannya.
Contoh: Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.
Maksud : setiap orang harus mentaati adat dan perlu diingatkan bahawa kita juga akan mati.

Seloka.
Menurut Hooykaas (1965), seloka adalah pantun yang memakai rima sama a-a-a-a seperti syair.     Menurut Simorangkir Simandjuntak (1965 ), seloka juga merupakan bidalan atau pepatah yang diberi bersampiran, tegasnya dalam bentuk pantun empat baris.
Contoh :                     Anak agam jual sutera,

                                         Jual di Renggat tengah pekan,
                                         Jangan digengam seperti bara,

                                               Terasa hangat dilepaskan.


Bidalan.
Bidalan ialah sebahagian daripada peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat, peringatan dan sebagainya kepada masyarakat di samping mempunyai ilmu, nilai dan pengajaran yang sangat berguna (Rubiah Aksah, 2005: 222).
Contoh : Berjalan peliharakan kaki, berkata peliharakan lidah.
Maksud : Seseorang perlu berfikir dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu pekerjaan     atau  tindakan.


Kata-kata Hikmat.
Kata-kata hikmat merupakan hasil pemikiran bijak pandai dan tokoh-tokoh tersohor. Biasanya kata-kata hikmat mengandungi pengertian yang mendalam, iaitu sebagai suatu peringatan di samping menjadi panduan dalam kehidupan (Rubiah Aksah, 2005 : 268).
Contoh : Muafakat membawa berkat.

Saturday, 31 March 2012

Nok Kecek Kelate...acu dengar.

Ejaan Yang Betul.

SITUASI 20.

Kempus atau kampus??? Bunyi hampir sama tapi makna yang berbeza. Perkataan yang betul ialah kampus. Perkataan kempus tidak mempunyai apa-apa makna dan ejaannya salah. 

ULASAN:

Kesilapan ejaan tersebut berlaku kerana pengaruh daripada bahasa pinjaman iaitu bahasa Inggeris. Selain itu, kesilapan ejaan berlaku kerana penggunaan huruf  'e' sama ada e-taling atau e- pepet. Penggunaan ini boleh dijelaskan dengan lebih lanjut dengan pendekatan fonetik dan fonologi.


Thursday, 29 March 2012

Tumbang atau terbalik?

SITUASI 19.

Setiap orang pasti keliru dengan penggunaan perkataan tumbang atau terbalik. Penggunaan perkataan-perkataan tersebut bergantung kepada konteks ayat yang ingin dinyatakan. Walaupun makna di sebalik perkataan tersebut hampir sama, tetapi ia hanya boleh berfungsi mengikut situasi yang betul sahaja.
Contoh penggunaan perkataan tidak mengikut konteks yang betul ialah:-

Pelajar A: Pokok itu terbalik semalam kerana hujan lebat.
Pelajar B: Terbalik??
Pelajar C: Macam pelik saja bunyi ayat itu.
Pelajar B: Betul. Aku pun tidak berapa faham maksudnya.
Pelajar A: Pokok itu terbalik la. Terbalik menyembah bumi. Daun semua gugur bertaburan di atas tanah.    
                Nasib baik tidak ada orang yang cedera.
Pelajar B: Itu bukan terbalik la awak. Kalau untuk pokok, tumbang la. Pokok tumbang!
Pelajar C: Ha...betul itu, pokok mestilah tumbang bukan terbalik.
Pelajar A: Tumbang dengan terbalik itu sama sahaja. Bukan ke begitu kawan-kawan?
Pelajar C: Salah! Penggunaan perkataan tumbang lebih tepat untuk pokok yang rebah menyembah bumi.
Pelajar A: Oh..baru aku faham sekarang. Terima kasih kawan.

PENDAPAT.
Situasi ini berlaku kerana terikut-ikut dengan penggunaan dialek yang bebas penggunaan ayatnya walaupun struktur ayat tersebut tidak betul. Perkara yang dipentingkan dalam setiap pertuturan hanyalah makna. Jika pendengar faham apa yang diujarkan, itu sudah memadai tanpa menitikberatkan struktur ayat sama ada betul atau salah. Itulah masalah utama setiap penutur bahasa di negara ini disamping masyarakat yang tidak perihatin.

Wednesday, 28 March 2012

PERCAMPURAN BUDAYA, BAHASA DAN ADAT.

SITUASI 18.


Percampuran yang dimaksudkan ialah perkahwinan. Melalui perkahwinan campur antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang berbeza dari segi budaya, bahasa dan adat akan menghasilkan suasana yang lebih komplek dan unik. Hanya orang tertentu sahaja yang mampu terima perubahan yang berlaku. ‘Kahwin campur’ ataupun kahwin rentas kaum adalah kahwin antara pasangan yang berbeza kaum, seperti kahwin antara melayu dengan cina, atau melayu dengan india atau selainnya. Perkahwinan campur ini amat unik kerana berlakunya perkongsian dari semua segi terutamanya bahasa. Semasa berkomunikasi, masing-masing akan cuba untuk bertutur dalam bahasa yang senang untuk difahami oleh pasangannya. 


Contoh terdekat saya dapat lihat ialah jiran saya yang berkahwin dengan lelaki berketurunan India. Sebelum berkahwin, lelaki itu hanya bertutur dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya, Tetapi, selepas berkahwin, lelaki tersebut sedaya upaya untuk belajar bertutur dalam Bahasa Melayu dan makan makanan masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, adat dan budayanya tidak terus ditinggalkan dan tetap dilakukan selagi tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Begitu juga dengan isterinya.
Mereka tetap saling melengkapi walaupun mempunyai perbezaan dari semua segi terutama budaya dan bahasa. Komunikasi yang berlaku menimbulkan kesan dimana semua pihak dapat memahaminya tanpa sebarang masalah asalkan kedua-dua belah pihak bijak untuk menangani perbezaan menjadi persamaan. 











PENDAPAT.

Setiap kaum yang terdapat di Malaysia mempunyai keunikan sama ada dari segi budaya, bahasa dan adat. oleh sebab itu, setiap ahli dalam masyarakat mampu menerima keunikan tersebut dengan senang kerana sudah biasa dengan keadaan Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk. 

Ringkasnya, kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain mampu untuk berkongsi budaya, bahasa dan adat mereka dengan sesiapa sahaja.

Tuesday, 27 March 2012

SERIUS ATAU LAWAK?

SITUASI 17.

Lawak atau jenaka merupakan perbuatan yang mampu mengukirkan senyuman di bibir seseorang. Jika lawak yang dilakukan secara bersahaja atau secara spontan, tidak semua orang mampu melakukannya. Hal ini demikian kerana lawak tidak hadir secara tiba-tiba tanpa difikirkan terlebih dahulu. Begitu juga dalam perbualan,  jika disertai dengan lawak atau jenaka, ia mampu mengubah suasana menjadi lebih meriah dan terdapat lebih banyak komunikasi. Fakta penting, orang yang mampu membuat lawak lebih disenangi dan mudah untuk didampingi.
Contohnya, hari ini saya bersama dua orang kawan pergi ke Rawang. Semasa di dalam kereta, kami berbual-bual mengenai kemalangan jalan raya yang berpunca daripada binatang liar yang melintas jalan. Terdapat satu kes kemalangan maut yang melibatkan pelajar UPSI yang berpunca daripada seekor babi hutan yang melintas jalan. Pemandu kereta tersebut tidak dapat mengawal kereta yang dipandu lalu melanggar pembahagi jalan. Kawan saya menyatakan bahawa ada pihak yang ingin memfailkan saman kepada individu tertentu. Fikiran saya terus ligat untuk membuat jenaka bagi mengubah suasana menjadi lebih ceria. Tiba-tiba saya berkata, "kenapa tidak saman babi itu sahaja?. Babi itu yang salah sebab melintas di kawasan yang tidak dibenarkan melintas". Semua kawan-kawan saya terus tergelak bagai hendak pecah pecah perut. Niat saya hanya satu, hanya ingin menceriakan keadaan yang agak suram.

Sebaliknya, orang yang sentiasa serius hanya akan didampingi apabila perlu sahaja. Hal ini demikian kerana orang disekelilingan berasa takut atau tidak suka dengan cara pemikiran orang yang terlalu serius. Tidak dinafikan bahawa serius itu perlu untuk berjaya dalam hidup tetapi ia perlu diselitkan dengan lawak jenaka. Kadang-kadang, orang serius ini akan menjadi 'kera sumbang' kerana tidak boleh berkomunikasi dengan orang lain.

ULASAN:

Lawak sebagai hiburan semata-mata dan kadang-kala mampu menjadi terapi yang berkesan kepada orang yang mempunyai masalah dalam hidup. Tetapi, jangan sampai lawak itu menimbulkan rasa sakit hati kepada orang lain. Lawak yang dilakukan haruslah tidak mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadi atau menyentuh sensitiviti sesuatu kaum kerana mampu memecah-belahkan perpaduan yang terjalin.