Lawak atau jenaka merupakan perbuatan yang mampu mengukirkan senyuman di bibir seseorang. Jika lawak yang dilakukan secara bersahaja atau secara spontan, tidak semua orang mampu melakukannya. Hal ini demikian kerana lawak tidak hadir secara tiba-tiba tanpa difikirkan terlebih dahulu. Begitu juga dalam perbualan, jika disertai dengan lawak atau jenaka, ia mampu mengubah suasana menjadi lebih meriah dan terdapat lebih banyak komunikasi. Fakta penting, orang yang mampu membuat lawak lebih disenangi dan mudah untuk didampingi.
Contohnya, hari ini saya bersama dua orang kawan pergi ke Rawang. Semasa di dalam kereta, kami berbual-bual mengenai kemalangan jalan raya yang berpunca daripada binatang liar yang melintas jalan. Terdapat satu kes kemalangan maut yang melibatkan pelajar UPSI yang berpunca daripada seekor babi hutan yang melintas jalan. Pemandu kereta tersebut tidak dapat mengawal kereta yang dipandu lalu melanggar pembahagi jalan. Kawan saya menyatakan bahawa ada pihak yang ingin memfailkan saman kepada individu tertentu. Fikiran saya terus ligat untuk membuat jenaka bagi mengubah suasana menjadi lebih ceria. Tiba-tiba saya berkata, "kenapa tidak saman babi itu sahaja?. Babi itu yang salah sebab melintas di kawasan yang tidak dibenarkan melintas". Semua kawan-kawan saya terus tergelak bagai hendak pecah pecah perut. Niat saya hanya satu, hanya ingin menceriakan keadaan yang agak suram.
Sebaliknya, orang yang sentiasa serius hanya akan didampingi apabila perlu sahaja. Hal ini demikian kerana orang disekelilingan berasa takut atau tidak suka dengan cara pemikiran orang yang terlalu serius. Tidak dinafikan bahawa serius itu perlu untuk berjaya dalam hidup tetapi ia perlu diselitkan dengan lawak jenaka. Kadang-kadang, orang serius ini akan menjadi 'kera sumbang' kerana tidak boleh berkomunikasi dengan orang lain.
ULASAN:
Lawak sebagai hiburan semata-mata dan kadang-kala mampu menjadi terapi yang berkesan kepada orang yang mempunyai masalah dalam hidup. Tetapi, jangan sampai lawak itu menimbulkan rasa sakit hati kepada orang lain. Lawak yang dilakukan haruslah tidak mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadi atau menyentuh sensitiviti sesuatu kaum kerana mampu memecah-belahkan perpaduan yang terjalin.
No comments:
Post a Comment