ASSALAMUALAIKUM W.B.T........

Wednesday 4 April 2012

Penghinaan Bahasa Melayu.

SITUASI 23.

      Penghinaan Bahasa Melayu. Isu yang hangat diperdebatkan di semua institusi bagi memartabatkan kembali bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Tidak terkecuali Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Hari ini, satu forum bahasa Melayu telah dilaksanakan yang bertajuk "Keberkesanan Pelaksanaan Pendekatan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam Konteks Pendidikan di Sekolah". Antara tokoh yang terlibat ialah Dr. Idris bin Mohd. Radzi, Prof. Dr. Teo Kok Seong, Prof. Dato' Dr. Wan Hashim Bin Wan Teh dan Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Bin Abu Bakar. 

       Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Bin Abu Bakar telah berkata bahawa telah lama berlaku penghinaan terhadap bahasa Melayu. Hal ini jelas tampak dalam sistem pendidikan apabila kerajaan telah memperkenalkan PPSMI yang memperkenalkan penggunaan bahasa Inggeris bagi menggantikan penggunaan bahasa Melayu untuk belajar subjek Matematik dan juga Sains. Sebagai orang Melayu yang sangat perihatin, beliau telah bertungkus lumus untuk memperjuangkan bahasa Melayu agar tidak terus diperalatkan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Semangat memperjuangkan bahasa Melayu terus berkobar-kobar. Begitu juga dengan  Prof. Dr. Teo Kok Seong, walaupun beliau bukan berbangsa Melayu, beliau juga merupakan pejuang bahasa Melayu.

      Masyarakat Melayu seharusnya mempunyai benteng penguasaan bahasa Melayu yang utuh dan tidak mudah melatah dengan pengaruh budaya lain yang cuba untuk mencalar maruah bahasa Melayu. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama untuk memperjuangkan dan memartabatkan kembali penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara terutamanya dalam sistem pendidikan negara.




No comments:

Post a Comment