ASSALAMUALAIKUM W.B.T........

Tuesday 3 April 2012

Ungkapan Melayu.

SITUASI 21.

Peribahasa.
Menurut Luqman Ariffin & Abu Khai Atan (2001), peribahasa mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan reality kehidupan dengan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling. Menurut Za’ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Contoh: Berjagung-jagung dahulu sementara padi masak.
Maksud : mengamalkan sikap rajin dan tidak hanya menunggu serta mengharapkan kepada satu perkara sahaja.

Simpulan bahasa.
Menurut Abdullah Hussein (1990), simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim.
Contoh: Langkah kanan
Maksud: Bernasib baik.

Perumpamaan.
Menurut Za’ba, perumpamaan berasal daripada bahasa kiasan. Ia membawa makna tersirat dan tersurat. Menurut Awang Had Salleh dan Abdul Razak Abu (1990 : 187), perumpamaan ialah susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberi makna khas berlainan daripada apa yang diucapkan atau ditulis dalam ayat itu, atau yang membandingkan sesuatu dengan benda lain.
Contoh: Laksana golok kayu,ditetak tak makan,dijual tak laku.
Maksud: Sesuatu yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

Perbilangan.
Mengikut Za’ba, perbilangan ini seakan-akan bidalan dan pepatah. Disebut satu persatu seperti membilang dan isinya hampir-hampir menjadi undang-undang tetap kerana diterima kebenaran dan kebijaksanaannya.
Contoh: Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.
Maksud : setiap orang harus mentaati adat dan perlu diingatkan bahawa kita juga akan mati.

Seloka.
Menurut Hooykaas (1965), seloka adalah pantun yang memakai rima sama a-a-a-a seperti syair.     Menurut Simorangkir Simandjuntak (1965 ), seloka juga merupakan bidalan atau pepatah yang diberi bersampiran, tegasnya dalam bentuk pantun empat baris.
Contoh :                     Anak agam jual sutera,

                                         Jual di Renggat tengah pekan,
                                         Jangan digengam seperti bara,

                                               Terasa hangat dilepaskan.


Bidalan.
Bidalan ialah sebahagian daripada peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat, peringatan dan sebagainya kepada masyarakat di samping mempunyai ilmu, nilai dan pengajaran yang sangat berguna (Rubiah Aksah, 2005: 222).
Contoh : Berjalan peliharakan kaki, berkata peliharakan lidah.
Maksud : Seseorang perlu berfikir dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu pekerjaan     atau  tindakan.


Kata-kata Hikmat.
Kata-kata hikmat merupakan hasil pemikiran bijak pandai dan tokoh-tokoh tersohor. Biasanya kata-kata hikmat mengandungi pengertian yang mendalam, iaitu sebagai suatu peringatan di samping menjadi panduan dalam kehidupan (Rubiah Aksah, 2005 : 268).
Contoh : Muafakat membawa berkat.

No comments:

Post a Comment